1. PENDAHULUAN

 

Bumi secara semulajadinya menerima beban pencemaran udara daripada fenomena alam semulajadi seperti letupan gunung berapi, pembakaran hutan akibat dari panahan petir dan sebagainya. Walaubagaimanapun, Bumi mempunyai 'kaedah semulajadi' bagi menangani pencemaran semulajadi ini. Apabila manusia mula menjalankan aktiviti perindustrian mahupun aktiviti harian, pencemaran alam sekitar semakin berleluasa dan Bumi tidak mampu lagi 'memikul' beban pencemaran tersebut.

 

2. AKTIVITI PERINDUSTRIAN & PEMBANGUNAN

 

Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia.

 

Selain pelepasan bahan toksik ke udara, pembangunan premis atau zon industri tanpa perancangan teliti dan kawalan akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan getaran. Aktiviti di tapak pembinaan dan bunyi kipas ekzos di kilang-kilang adalah antara contoh-contoh aktiviti yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi.  

 

 

3. KENDERAAN MOTOR

 

Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api  fosil, yang menghasilkan asap dan bunyi bising yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu. Angka ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan meningkatnya pendapatan, pemindahan luar bandar ke bandar dan kekurangan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.

 

 

4. PENJANAAN KUASA 

 

Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro.

 

 

5. AKTIVITI HARIAN

 

Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.

 

 

6. PEMBAKARAN TERBUKA

 

Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubunyi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya

Punca-punca Pencemaran Udara